Siaran Akhbar dan Foto : Pasukan Polis Diraja Brunei
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 12 Januari. - Daerah Brunei dan Muara (DBM), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) baru-baru ini menganjurkan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan tanah perkuburan Islam, masjid dan balai ibadat secara serentak sempena Sambutan Hari Polis Ke-105 Tahun.
Aktiviti berkenaan melibatkan enam lokasi di DBM.
Seramai 170 peserta mengambil bahagian dalam aktiviti berkenaan, yang turut dihadiri oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Lawi bin Haji Lamat, Ketua Kampung Subok juga selaku Pemangku Penghulu Mukim Kianggeh, Penghulu-penghulu Mukim, Ketua-ketua Kampung, pegawai dan anggota PPDB, ahli Pengawasan Kejiranan (PK), ahli jawatankuasa takmir masjid, Ahli Majlis Perundingan Kampung (MPK), serta penduduk setempat.
Aktiviti gotong-royong berkenaan telah dilaksanakan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Limbungan, Masjid Kampung Sungai Hanching, Mukim Berakas 'B', Tanah Perkuburan Islam Kinapahan Jerudong dan Masjid Al-Ameerah Kampung Jerudong, Masjid Az-Zakireen Kampung Meragang, Balai Ibadat Kampung Bebuloh, serta Masjid Al-Muhtadee Billah Kampung Sungai Kebun.
Penganjuran aktiviti berkenaan bertujuan untuk mengeratkan hubungan dan kerjasama antara PPDB dan masyarakat setempat, di samping memupuk semangat silaturahim, tanggungjawab sosial serta kebersamaan dalam meraikan Sambutan Hari Polis Ke-105 Tahun.